Saturday 17 March 2012

Strategi Pemusatan Guru

1. Apa itu Pemusatan Guru?
Strategi pemusatan guru merupakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang telah lama diamalkan dalam bilik darjah. Di bawah strategi pengajaran dan pembelajaran ini, guru memainkan peranan yang utama. Di dalam bilik darjah, gurulah yang menguasai dan mengawal segala aktiviti pelajaran, iaitu guru banyak memberi penerangan dan murid hanya duduk mendengar. Kaedah keseluruhan kelas, demonstrasi, syarahan, bercerita, pengajaran berkumpulan dan setengah-setengah kemahiran pengajaran berpusatkan guru dalam pengajaran mikro menjadi pertimbangan semasa menggunakan strategi pemusatan guru.
2. Ciri-ciri strategi pemusatan guru.
  • Guru memainkan peranan yang penting dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran manakala murid berperanan sebagai penonton sahaja.
  • Komunikasi dan interaksi diantara guru dan murid adalah sehala. Guru banyak bercakap dan murid hanya mendengar.
  • Ciri kepimpinan guru bersifat autokratik. Murid-murid tidak berpeluang menyumbangkan pendapat mereka. Guru banyak bertindak mengawal dan memberi arahan.
  • Strategi pengajaran dan pembelajaran lebih mengutamakan pencapaian objektif pengajaran guru.
  • Penyebaran ilmu pengetahuan lebih mengutamakan daripada penyuburan nilai murni atau perkembangan emosi.
  • Strategi ini mementingkan pencapaian murid berdasarkan keputusan ujian dan peperiksaan.
  • Teknik mengajar guru ditumpukan kepada penyampaian fakta-fakta secara menghafal. Pembelajaran murid banyak berbentuk mengingat, menghafal dan kurang berupaya membuat interpretasi.
  • Interaksi diantara murid adalah pasif dan sifat-sifat sosial yang positif kurang dapat dipupuk.
  • Mementingkan pengelolaan kaedah keseluruhan kelas. Perbezaan murid dari segi kebolehan dan minat tidak diberi perhatian.
  • Di bawah strategi permusatan guru, murid-murid menjadi kurang kreatif dan tidak berinisisatif.
3. Kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran dalam strategi permusatan guru.
  • Penerangan.
Kemahiran menerang digunakan untuk menyampaikan maklumat, konsep atau isi kandungan pelajaran kepada pelajar, biasanya dalam peringkat perkembangan. Semasa menggunakan kemahiran menerang, guru memberi penerangan kepada pelajar tentang sesuatu isi pelajaran dengan menggunakan contoh, ilustrasi atau sumber pelajaran. Dalam peringkat penerangan ini, guru juga boleh menggunakan papan putih untuk menulis isi penting supaya pelajar boleh memehami dan merekaodkannya dalam buku nota mereka.
Objektif penggunaan kaedah penerangan ini ialah untuk menyampaikan maklumat atau menjelaskan isi pelajaran dalam masa yang singkat. Memudahkan pelajar memahami konsep atau isi pelajaran dengan jelas. Menghuraikan sesuatu proses atau prosedur seperti langkah-langkah menjalankan satu ujikaji atau menyelasaikan masalah matematik dan menjelaskan sebab-sebab berlakunya sesuatu peristiwa atau meramalkan kemungkinan berlakunya peristiwa tertentu.
  • Demontrasi.
Demonstrasi ialah satu jenis teknik pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan kemahiran guru mendemonstrasikan cara atau langkah melakukan sesuatu aktiviti di hadapan murid. Teknik ini mellibatkan aktiviti penerangan dan demontrasi guru bersama dengan aktiviti pendengaran dan penglihatan serta percubaan murid.
Tujuannya supaya murid dapat mencontohi dan memudahkan murid melaksanakan sesuatu aktiviti. Ingatan murid tentang langkah-langkah dapat diperkukuhkan dan murid lebih memahami pembelajaran yang dijalankan. Latihan amali dapat membina kemahiran murid dengan tepat dan kukuh. Dalam masa yang sama guru dapat membetulkan sebarang kesilapan yang berlaku, membina keyakinan murid dan mengelakkan sebarang permasalahan berlaku.
  • Syarahan.
Kaedah mengajar komunikasi satu hala iatu guru mengutarakan dan menjelaskan sesuatu topik berstruktur. Selaunya syarahan bersifat fakta kukuh.
  • Pengajaran berkumpulan/berpasukan.
Konsep pengajaran dan pembelajaran berkumpulan berasaskan kepada perubahan strategi pengajaran yang berorientasikan guru kepada strategi yang berpusatkan murid. Tujuannya adalah berdasarkan kebolehan murid. Di bawah aktiviti pembelajaran secara kumpulan murid-murid dapat menguasai kemahiran yang tertentu mengikut kadar pembelajaran yang sepadan dengan kebolehan mereka. Ada dua cara yang biasa digunakan untuk membentuk kumpulan murid iaitu pertama berdasarkan kepada kebolehan dan pencapaiaan murid yang lebih kurang sama taraf manakala kedua kumpulan dibentuk berdasarkan kepada pelbagai kebolehan dan kecenderungan murid-murid dicampur bersama.
  • Pengajaran mikro.
Pengajaran mikro adalah suatu teknik pengajaran dalam masa di antara lima hingga lima belas minit untuk mengajar sesuatu kemahiran pelajaran bagi sekumpulan guru. Tujuan mengadakan pengajaran mikro ialah untuk membina kemahiran guru yang berkaitan dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Pengajaran mikro adalah sama dengan penggunaan teknik simulasi untuk menguasai kemahiran-kemahiran pengajaran seperti teknik menggunakan set induksi, penyoalan, variasi ransangan, penerangan dengan contoh-contoh, ilustrasi atau alat bantu mengajar, penggunaan papan putih, pengukuha dan penutup.
Melalui pengajaran mikro ini guru berpeluang mempraktikkan teori pengajaran dalam sesuatu situasi yang terkawal. Biasanya kaedah ini hanya menumpukan kepada satu jenis kemahiran mengajar sahaja.

  • Bercerita.
Bercerita merupakan suatu kaedah mengajar yang membolehkan guru menyampaikan isi pelajarannya melalui penggunaan teknik bercerita. Murid biasanya gemar mendengar cerita yang menarik. Sesuatu cerita yang disampaikan dengan baik akan membolehkan murid mempelajari sesuatu dalam suasana yang seronok dan pelajaran ini akan lebih kekal dalam ingatan. Oleh itu guru hendaklah kuasai kemahiran bercerita untuk menambahkan keberkesanan pengajaran dalam bilik darjah. Guru boleh menggunakan pelbagai cara menyampaikan cerita dalam kelas antaranya seperti secara lisan, murid mendengar pita rakaman, boneka dan lain-lain.
  • Keseluruhan kelas.
Pengajaran secara kelas bermaksud penyampaian pengajaran guru kepada seluruh kelas. Ini bermakna guru mengajar dengan isi pelajaran yang sama, masa yang sama serta memberi latihan atau kerja yang sama kepada semua murid dalam kelasnya. Biasanya, apabila pelajaran secara kelas digunakan, murid-murid akan duduk mengikut susunan meja-kerusi secara berbaris-baris dan berhadapan dengan guru.
Kelebihannya, guru dapat menjimatkan masa dan tenaga. Dengan kaedah ini, guru dapat menjelaskan sesuatu konsep atau kemahiran baru, atau menghuraikan langkah-langkah penyelesaian masalah yang dihadapi oleh hampir semua murid dalam kelas. Murid juga suka belajar bersama-sama seperti aktiviti menyanyi, membaca atau aktiviti sukan. Belajar bersama-sama juga lebih seronok daripada belajar seorang diri.
4. Sifat dan kualiti Guru.
Guru adalah pendidik dan pengasuh kanak-kanak yanga akan menjadi warisan kebudayaan dan ilmu pengetahuan untuk kemajuan negara pada masa depan. Peranan yang dimainkan oleh guru dalam bidang pendidikan tidak kurang pentingnya. Selain menyebar ilmu, segala tingkah laku guru akan menjadi contoh teladan kepada murid-muridnya. Oleh yang demikian, guru seharusnya mempunyai sifat dan kualiti peribadi, profesional dan sosial yang baik dan murrni. Hanya guru yang mempunyai tatasusila yang tinggi akan berjaya menjalankan tugas sebagai pendidik dengan sempurna, khasnya melaksanakan perancangan penyampaian pengajaran dengan berkesan.
Seorang guru yang baik seharusnya mempunyai sifat dan kualiti peribadi berikut:-
  • Baik hati: Sikap baik hati dan timbang rasa seseorang guru amat dihargai oleh murid-murid. Murid-murid akan belajar dalam suasana yang tenteram, yakin dan senang hati.
  • Jenaka: sifat jenaka seseorang guru akan membawa suasana riang gembira kepada murid-murid dalam bilik darjah. Guru yang suka berjenaka adalah guru yang suka didekati oleh muridnya. Perhubungan guru dengan murid akan terjalin erat dan ini adalah merupakan kondusif dalam konteks pengajaran dan pembelajaran. Dengan sifat jenakanya, guru dapat menyampaikan pelajarannya dengan lebih menarik dan berkesan.
  • Sabar: Seseorang guru yang mempunyai sifat sabar adalah guru yang boleh mengawal perasaan diri. Guru ini tidak mudah meradang dalam apa jua keadaan. Guru yang mudah menunjukkan kemarahannya tidak akan dapat menjalin perhubungan yang erat dengan murid-muridnya. Akibatnya, sifat kurang sabar ini akan menjejaskan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
  • Bertanggungjawab: Sifat bertanggungjawab akan sentiasa mendorong guru mementingkan tugas yang telah diamanahkan kepadanya. Seseorang guru yang bertanggungjawab akan sentiasa berusaha menjalankan tugasnya dengan sempurna.
  • Yakin: kebanyakkan masalah disiplin yang timbul di dalam bilik darjah adalah disebabkan sifat kurang yakin guru sendiri. Guru yang mempunyai sifat yakin tidak akan merasa takut apabila perlu membuat sesuatu tindakan atau keputusan. Murid-murid akan menghormati guru yang boleh mengambil tindakan dengan tegas.
  • Kepimpinan: Guru merupakan pemimpin murid. Oleh itu, seseorang guru haruslah mewarisi sifat kepimpinan supaya murid-muridnya akan memetuhi segala tunjuk ajar dan arahan guru. Murid-murid akan menghormati guru yang mempunyai kualiti kepimpinan yang dapat membantu melancarkan sesi pengajaran dan pembelajaran.
  • Ingin tahu: Sifat ingin tahu kan mendorong seseorang guru supaya sentiasa berusaha menambah pengetahuannya, guru ini akan selalu mempelajari dan menyesuaikan diri dalam arena pendidikan yang sering berubah-ubah, baik daripada kurikulum mahupun kaedah mengajar, demi kepentingan pekerjaannya sebagai guru yang bersifat profesional.
  • Pengetahuan ikhtisas: Seorang guru yang memperoleh pengetahuan dalam bidang pendidikan adalah guru yang bertauliah, iaitu layak menjadi seorang guru dalam erti kata yang sebenar. Guru ini akan melengkapkan diri dengan berbagai jenis ilmu pengetahuan seperti ilmu psikologi kanak-kanak, ilmu kaedah mengajar, ilmu kurikulum, kandungan mata pelajaran dan sebagainya. Guru yang melengkapkan diri dengan berbagai-bagai pengetahuan ikhtisas ini adalah guru yang telah memperoleh kualiti profesional dalam konteks pendidikan.
  • Suka membaca: Untuk menyampaikan pelajaran dengan yakin dan menyebarkan ilmu yang lengkap, guru harus memperoleh ilmu pengetahuan yang luas serta mendalam. Objektif ini hanya boleh tercapai apabila guru sentiasa membaca. Oleh yang demikian, sifat suka membaca merupakan kriteria yang penting untuk mempertingkatkan kualiti profesional seorang guru.
  • Kemahiran bertutur: Keberkesanan penyampaian pelajaran bergantung kepada kemahiran bertutur. Guru yang mempunyai pertuturan yang jelas dan terang akan membolehkan murid mendengar perkara yang ajar dengan tepat. Dengan penggunaan sebutan dan tatabahasa yang betul, murid-murid tidak akan tersilap. Oleh itu, kemahitran bertutur merupakan salah satu kualiti profesional yang penting.
  • Daya ingatan: Daya ingatan yang baik akan membantu guru menyampaikan pelajaran sepenuhnya mengikut rancangan yang disediakan. Murid-murid tidak akan ketinggalan sebarang isi pelajaran yang penting serta tidak akan menerima ajaran yang salah. Oleh itu, daya ingatan yang baik merupakan syarat penting bagi seorang guru.
  • Daya usaha: seseorang guru yang mempunyai kualiti daya usaha tidak akan terperangkap dengan rutin yang membosankan murid untukbelajar. Guru yang mempunyai kualiti profesional ini akan sentiasa memikir dan mencuba pendekatan atau kaedah mengajar yang baru supaya pengajarannya sentiasa menjadi menarik dan berkesan.
  • Budi pekerti: Ini termasuk kelakuan sopan santun semasa bergaul dengan rakan sejawat atau semasa menyertai aktiviti masyarakat. Seseorang guru yang mempunyai sifat ini akan sentiasa dihormati dan disanjungi oleh orang ramai.
  • Ramah mesra: Sifat ramah mesra merupakan satu kualiti yang perlu ada untuk mendapat kerjasama orang lain. Sifat ini juga akan mendorong murid-murid suka berdamping rapat dengan guru.
  • Merendah diri: Sifat merendah diri adalah pertentangan sifat sombong. Orang tidak akan suka bergaul dengan guru yang sombong. Oleh itu, sifat merendah diri merupakan salah satu kualiti sosial yang perlu ada pada seorang guru.
  • Semangat berbakti: Seseorang guruyang mempunyai semangat berbakti akan sentiasa disanjungi oleh orang lain. Sifat ini pula merupakan salah satu kualiti murni bagi guru.
  • Jujur: Sikap jujur adalah bertentangan dengan sifat pembohong. Guru yang jujur akan menjalankan tugas dengan penuh dedikasi baik di dalam bilik darjah, mahupun di luar. Sifat jujur ini merupakan kualiti murni kerana guru yang jujur akan dihormati orang lain dan guru yang jujur akan berusaha bersungguh-sungguh supaya hasil kerjanya mencapai tahap cemerlang.
Secara umumnya, guru yang mempunyai sifat, kualiti dan profesionalisme yang positif akan dapat menjalankan tugasnya dengan lancar dan bermutu.
5. Guru sebagai pengurus kelas.
Di dalam bilik darjah, selain mengajar guru juga memainkan peranan sebagai pengurus. Tugas guru sebagai pengurus ialah mengurus rutin kelas, mengurus murid supaya mereka menjalankan tugas mereka mengikut jadual bertugas, mengurus murid mematuhi peraturan peraturan, urus keadaan fizikal kelas, urus bahan pengajaran dan urus aktiviti kumpulan supaya dapat dilaksanakan mengikut rancangan. Kecekapan guru akan mewujudkan suasana sosioemosi yang selesa, disiplin kelas yang baik dan keadaan kelas yang kondusif.
Elemen dalam pengurusan kelas.
Peranan guru sebagai pengurus bilik darjah adalah berasaskan elemen pengurusan iaitu merancang, mengelola, mengarah dan mengawal. Untuk menjadi pengurus kelas yang berkesan, guru hendaklah memahami elemen ini dan menguasai kemahiran-kemahirannya.
  • Guru sebagai perancang.
Perlakuan mengajar guru dalam segala proses perancangan adalah penting dari segi pencapaian objektif pelajaran yang ditentukan. Sekiranya perancangan guru adalah baik, ia akan melicinkan pelaksanaannya, dan seterusnya mencapai objektif pelajaran yang diharapkan.
  • Guru sebagai pengelola.
Tujuan utama adakan pengajaran ialah mewujudkan aktiviti pembelajaran. Keberkesanannya pula bergantung kepada kebolehan menggunakan kemahiran mengajar.oleh itu pengajaran ada dua fungsi utama iaitu merangsang pembelajaran dan mewujudkan situasi pembelajaran berkesan.
Selain tugas penyedian pelbagai janis rekod dan perlaksanaan rutin kelas, guru juga dikehendaki melaksanakan tugas seperti menguruskan projek lawatan atau skim amalan makanan dan pemakanan.
  • Guru sebagai pengarah.
Di dalam proses perlaksanaan pengajaran ,elemen mengarah sering wujud dalam setiap aktiviti. Arahan-arahan yang disampaikan oleh guru dalam kelas adalah berkait rapat dengan kepimpinan, pengajaran, pemudahcaraan dan komunikasi secara lisan. Sehubungan ini, untuk menyampaikan arahan dengan berkesan, guru haruslah mengusai kemahiran membimbing, mengajar, pemudahcaraan dan komunikasi lisan.
  • Guru sebagai pengawal.
Di bawah konteks pengurusan kelas, mengawal bermaksud mengawal disiplin murid termasuk langkah-langkah aktiviti pembelajaran dalam kelas. Kecekapan guru menguruskan kelas akan mengurangkan masalah disiplin murid dan lantas akan mewujudkan suasana sosioemosi yang selesa, displin kelas yang baik dan keadaan kelas yang kondusif dan sesuai untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
Pengurusan kelas yang berkaitan dengan disiplin yang baik adalah seperti berikut:-
  • Mengawal peraturan-peraturan kelas
Peraturan kelas yang ditetapkan hendaklah jelas, ringkas dan mudah diikuti. Oleh itu guru perlu tegas dan adil semasa melaksanakan peraturan itu. Sekiranya murid dapat bekerjasama dan rela patuhi peraturan maka masalah disiplin dapat dikurangkan.
  • Mengawal aktiviti kumpulan.
Aktiviti kumpulan di kelas galakkan interaksi pelbagai hala . aktiviti kumpulan yang diuruskan dengan baik dapat memupuk semangat kerjasama, sikap toleransi dan hormat-menghormati di kalangan murid. Di samping mewujudkan perhubungan mesra antara guru dan murid. Hubungan baik akan memudahkan guru membimbing dan menggerakkan murid-murid menjaga disiplin kelas serta libatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran.
  • Mengawal murid bermasalah peribadi.
Kebanyakkan msalah disiplin berpunca daripada perasaan marah, bersalah, kecewa, atau bosan yang timbul di kalangan murid di dalam kelas. Perasaan negatif ini biasanya berpunca daripada gaya kepimpinan guru yang bersifat autokratik atau pengajaran kurang menarik. Oleh itu guru haruslah menukar corak kepimpinan serta merancang pengajarannya dengan lebih berkesan dan menarik. Usaha ini dapat membantu murid yang menghadapi masalah peribadi agar menukar tingkah laku negatif mereka.
Rujukan dan lampiran
  • Mok Soon Sang,2002,Siri pendidikan perguruan pedagogi untuk kursus diploma perguruan semester 2,edisi ketiga, Kumpulan Budiman Sdn Bhd, Subang Jaya, Selangor.
  • Ee Ah Meng,2001, siri diploma perguruan pedagogi ii edisi kedua(semester 2), Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.Shah Alam, Selangor.
  • Mok Soon Sang, 2001, siri pendidikan perguruan pedagogi untuk kursus diploma perguruan semester 3,Kumpulan Budiman Sdn Bhd, Subang Jaya, Selangor.

No comments:

Post a Comment